Hospital Oh Hospital
Thursday, December 2, 2010 20:28
Ada sesiapa yang nak pergi?
Salam hormat buat pembaca LifeInsured Blog. Terima kasih kerana masih memberi sokongan kepada saya untuk terus menyampaikan maklumat mengenai Insurans Hayat.
Baru-baru ini kecoh di dada-dada akhbar mengenai caj hospital yang terlalu tinggi. Waima bagi seorang doktor yang mendapatkan rawatan pun merasakan caj yang dikenakan adalah terlalu tinggi. Ada pula yang terkilan kerana pihak hospital tidak memaklumkan kepadanya terlebih dahulu bahawa kos perubatannya telah melebihi daripada nilai yang ditanggung oleh pihak insurans.
Persoalannya, yang manakah lebih baik sama ada memiliki insurans perubatan atau tiada sebarang polisi insurans perubatan.
Seperti yang telah dibincangkan dalam beberapa topik yang lepas, bagi mereka yang berkemampuan, mereka mungkin tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan rawatan kelas pertama kerana mereka sememangnya mempunyai wang untuk sebarang kegunaan. Jadi, bagaimana pula dengan mereka yang kurang berkemampuan?
Tidak dinafikan, kadang-kadang caj yang dikenakan oleh pihak hospital agak melampau. Jadi, bagi pemantauan caj, biarlah kita serahkan kepada pihak yang bertanggungjawab.
Sebenarnya kita tidak tahu bilakah masanya kita memerlukan insurans perubatan ini. Sebagai langkah persedian, anda mempunyai dua pilihan sama ada menyediakan “tabung perubatan” atau membeli mana-mana polisi insurans perubatan.
Konsepnya adalah sama, katakan anda menabung RM500 setahun untuk tabung perubatan, kemudian anda dimasukkan ke hospital pada tahun ke 10 tabungan anda, maka, anda mempunyai dana sebanyak RM5000 (nilai pokok), atau RM8000 (dividen terkumpul) untuk bayaran hospital. Adakah anda merasakan nilai dana sebanyak itu cukup untuk menampung kos perubatan anda?
Sekiranya anda membeli polisi insurans perubatan dengan nilai yang sama iaitu RM500 setahun, dan anda mengalami kecelakaan sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital, maka secara automatik pihak insurans akan mengambil alih segala urusan berkaitan dengan kos perubatan anda. Tidakkah itu lebih baik? Malah bermula dari tahun pertama anda membeli polisi tersebut, anda sudah pun mempunyai dana sehingga RM450,000!
Sebagai perunding insurans hayat, saya tidak boleh memaksa anda untuk membeli polisi insurans perubatan, kerana sekiranya anda membeli kerana terpaksa, lambat laun anda akan tidak akan meneruskan polisi tersebut atas sebab “rugi” atau “tidak perlu”.
Biarlah anda memutuskan untuk memiliki insurans perubatan atas dasar “keperluan” kerana itu lebih menjamin anda di masa depan.
“Jangan sudah terhantuk, baru nak terngadah,
Pakailah helmet untuk keselamatan anda”







