Panduan Mengurangkan Hutang Kad Kredit

Thursday, June 16, 2011 2:41
Posted in category Rancang Kewangan

Kemudahan atau Beban?

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca blog ini. Hari ini kita akan membincangkan bagaimana untuk mengurangkan jumlah hutang yang kita ada. Kadang-kadang kerana hutang, ia boleh menjadikan hubungan menjadi huru-hara, tertekan, dan berbagai lagi gejala negatif yang boleh difikirkan.

Baiklah, soalan saya, adakah anda seorang “PEMIUTANG” iaitu orang yang berhutang dengan mana-mana insitusi kewangan? Sekiranya anda tidak mempunyai sebarang hutang, ini beerti anda telah mencapai “Bebas Kewangan” atau “Financial Freedom”. Bagaimana sekianya anda adalah seorang penghutang tegar iaitu seorang yang telah mempunyai hutang dan tidak melakukan apa-apa untuk melangsaikan hutang tersebut malah menambahnya menjadi lebih banyak.

Seperti tajuk artikel kali ini, mari kita sama-sama melihat bagaimana untuk kita mengurangkan jumlah hutang yang kita ada. Mudah-mudahan, artikel kali ini dapat membantu anda mencapai matlamat kewangan anda.

Sebenarnya terdapat pelbagai kaedah untuk membayar hutang yang kebanyakkannya adalah disebabkan oleh kad kredit. Bagaimanapun, ia bergantung kepada jumlah hutang dan pendapatan semasa anda. Situasi ini akan menentukan keupayaan anda untuk berhadapan dengan bayaran bulanan minimum.

Akses Situasi Kewangan

Akses kedudukan kewangan anda sebelum merancang mengurangkan hutang kad kredit anda adalah penting untuk mencapai matlamat. Hitungkan semua pendapatan dan perbelanjaan bulanan anda. Baki jumlah tersebut boleh digunakan untuk tujuan pembayaran baki penggunaan kad kredit anda.

Merancang Pengurusan Hutang

Anda perlu membuat rancangan untuk mengurangkan  hutang kad kredit. Perancangan hutang yang profesional dapat menyingkirkan hutang yang tidak diperlukan. Bagaimanapun, pastikan bahawa anda telah mempertimbang dan memasukkan semua pilihan pelepasan hutang bagi mengurangkan jumlah hutang yang perlu dibayar.

Melaksanakan Perancangan

Untuk melaksanakannya bukanlah sesuatu yang mudah, namun hutang kad kredit anda perlu dikurangkan. Anda mungkin mengambil masa selama bertahun-tahun bagi melangsaikan hutang anda sepenuhnya, namun ia penting bagi meningkatkan tahap kredit anda. Anda harus menyedari bahawa hutang bukan hanya memberi impak kepada anda, juga rumah tangga anda. Mempunyai rekod yang bersih dapat menjamin anda untuk membuat pinjaman sekiranya diperlukan pada masa hadapan.

Setelah mengenal pasti situasi kewangan dan membuat perancangan keseluruhan bagi mengurangkan hutang, anda perlu mempertimbangkan bagaimana untuk berjimat.

Berikut adalah beberapa tip untuk pertimbangan anda.

Lebihkan Pendapatan, Kurangkan Perbelanjaan

Terlebih dahulu, anda perlu memastikan bahawa anda telah mengeluarkan semua perbelanjaan yang tidak penting. Ini adalah penting bagi memudahkan anda mengenal pasti jumlah yang boleh dijimatkan dengan mengubah tabiat pemakanan, misalnya mengurangkan makan diluar, membeli barangan runcit jenama pasar raya berbanding jenama biasa. Anda mungkin memerlukan bantuan bagi menguruskan kewangan anda setiap hari untuk mengurangkan hutang anda.

Kurangkan Perbelanjaan

Anda perlu mengenal pasti tujuan perbelanjaan anda, Peluang untuk anda berbelanja adalah lebih tinggi berbanding pendapatan. Ini adalah situasi yang kritikal di mana hutang kad kredit anda tidak boleh dihapuskan. Justeru, anda perlu mengurangkan perbelanjaan harian anda terlebih dahulu.

Anda perlu berusaha untuk melalui kehidupan yang sejajar dengan kemampuan anda dan bukannya secara mewah atay berlebih-lebihan. Mengurangkan perbelanjaan adalah pilihan yang tepat, mudah dan pantas untuk melihat keberkesanannya.

Pendapatan Yang Lebih Baik

Cari pekerjaan yang menawarkan gaji atau pendapatan yang lebih baik dan pastikan anda tidak meninggalkan pekerjaan sekarang sehingga anda mendapat pekerjaan yang baru kerana ia akan menyebabkan tekanan yang berpanjangan.

Pekerjaan Kedua / “Part-Time”

Dapatkan pekerjaan yang kedua, pekerjaan sementara untuk menambahkan pendapatan kerja sepenuh masa. Ini dapat membantu anda menambahkan pendapatan bagi menampung perbelanjaan dan hutang yang anda tanggung.

Dapatkan Khidmat Golongan Profesional

Sekiranya anda mendapati bahawa anda tidak mampu untuk membayar balik bayaran minimum, pilihan terbaik anda adalah untuk mendapat khidmat nasihat dari Perunding Kewangan yang profesional. Mereka akan menyediakan pelan perancangan untuk anda mencapaikan matlamat kewangan anda mengikut keadaan semasa anda.

Anda juga perlu mendapatkan bantuan firma yang pakar yang mampu berunding untuk mendapatkan terma-terma imbalan yang baik bagi pelanggan mereka. Dapatkan juga perhubungan kaunseling kredit yang bukan bermotifkan keuntungan dan syarikat-syarikat “consolidation” perhutangan yang boleh membantu mengurangkan kadar “interest” ke atas baki kad kredit, mengurangkan pembayaran bulanan dan sekaligus memberikan khidmat nasihat kewangan bagi mengelakkan masalah hutanga kad kredit anda pada masa akan datang.

Semoga dengan tip-tip yang dinyatakan di atas dapat membantu mengurangkan serba sedikit beban hutang yang anda tanggung.

Bersambung di artikel akan datang, “Bagaimana Untuk Mencapai Matlamat”. Jumpa lagi.

 

Sum Assured = Nilai Nyawa???

Sunday, June 5, 2011 18:13

Dah ada ke belum?

Ramai yang berpendapat, membeli insurans hayat adalah seperti meletak suatu nilai dalam bentuk wang ringgit kepada nyawa anda. Betul ke?

Jawapannya : Tidak.

Nyawa tidak mungkin diinsuranskan kerana mustahil untuk anda mengira berapa harga nyawa anda.

Jadi, apa sebenarnya yang yang diinsuranskan/dilindungi oleh insurans hayat anda?

Sunthara Segar dalam bukunya Rahsia Mengurus Insurans Hayat menyatakan insurans hayat adalah melindungi Nilai Ekonomi Hidup atau economic life value anda.

Nilai Ekonomi Hidup?

Setiap dari kita yang melayari laman web ini mempunyai satu sumber yang sangat berharga dimana jika tiada sumber ini kita sukar untuk menyara hidup.. dan juga mengumpulkan kekayaan. Apakah sumber tersebut?

Sumber tersebut adalah masa bekerja (dalam unit jam). Kita boleh juga gelarkan ia sebagat aset working hours.

Mari kita nilaikan working hours anda. Katakan anda adalah seperti berikut;

Usia mula berkerja = 25 tahun

Usia mahu bersara = 55 tahun

Jadi, jangkasmasa anda untuk berkerja adalah 55 – 25 = 30 tahun.

Jumlah jam berkerja = 30 tahun x 50 minggu x 5.5 hari* x 8 jam*) = 66,000 jam

*andaian secara purata

Ini bermakna anda mempunyai 66,000 jam waktu keemasan untuk berusaha dan berkerja keras bagi mencapai matlamat kewangan anda. Sekarang kita kira berapakah nilai jumlah jam ini dalam bentuk wang.

Andaikata purata pendapatan bagi jangkasama 30 tahun tadi adalah RM60,000 setahun (RM27.30 sejam). Maka potensi pendapatan anda untuk 30 tahun akan datang adalah;

30 x 60,000 = RM1.8 juta*. Ini adalah Nilai Ekonomi Hidup anda. Yang sepatutnya diinsuranskan.

Sekarang anda boleh bandingkan nilai ini dengan jumlah insurans yang anda ada.

Terlebih atau terkurang?

atau tiada langsung?

*Perlu diingat nilai yang kita kira diatas adalah mengambil kira pendapatan dengan nilai yang rendah. Pada hakikatnya matlamat kewangan kita secara logiknya adalah lebih tinggi dari yang dipaparkan disini.

Ini menjelaskan insurans hayat memberi jaminan melindungi potensi pendapatan anda. Andaikata berlaku peristiwa-peristiwa tertentu yang membantutkan perjalanan anda  (untuk menggunakan 66,000 jam waktu bekerja yang sepatutnya telah diperuntukkan) bagi mencapai matlamat anda bersara pada usia 55 tahun, maka ketika ini pelan insurans hayat anda itulah yang memainkan peranan besar.

Sedia maklum, 30 tahun adalah satu perjalanan yang lama. Macam-macam boleh terjadi. Terdapat  peristiwa-peristiwa tertentu jika berlaku boleh menjejaskan matlamat kewangan anda iaitu;

1. Kemalangan

2. Sakit

3. Hilang Upaya Kekal

4. Meninggal Dunia (Umur pendek)

5. Tua (Umur Panjang)

Dalam senarai ini no 4 dan 5 adalah satu perkara yang sudah pasti akan berlaku. No 1,2 dan 3 pula boleh datang pada bila-bila masa sahaja. Waima dalam pada saat ini juga.

Jika ia berlaku, apakah kesan kepada anda dan keluarga?

Jika kelima-lima peristiwa ini tidak ditangani dengan segera, ianya bakal mengundang BENCANA KEWANGAN dan masalah psikologi kepada anda dan juga keluarga. Sekaligus menambahkan lagi tekanan hidup. (apatah lagi jika sebelum bencana berlaku pun kita sememangnya sudah sedia tertekan). Jika penyakit yang tidak diundang tiba-tiba menyerang, adakah wang simpanan akan dihabiskan untuk belanja rawatan dan hospital?.

Lebih rumit, bayangkan bagaimana taraf hidup keluarga  JATUH MENJUNAM akibat sumber pendapatan terputus kerana anda meninggal mengejut (meninggal dunia sebelum waktunya). Keluarga yang ditinggalkan pula menerima 2 tekanan yang menghimpit iaitu tekanan kewangan dan juga tekanan emosi.

Bukankah bagus jika anda mempunyai satu jaminan kewangan yang bakal menjaga kebajikan keluarga? Dan mereka yang tersayang dapat meneruskan hidup walapun tanpa kehadiran anda disisi. Walaupun emosi mereka terjejas, sekurang-kurangnya tiada bebanan kewangan yang rumit ditinggalkan.

Persoalannya, adakah anda berminat jika anda boleh menguruskan semua ini dengan baik hanya bermodalkan sedikit persediaan dan perancangan kewangan pada waktu sekarang?

 

Pelaburan – Lump Sump vs Regular

Tuesday, March 1, 2011 13:56
Posted in category Pelaburan

Pelaburan

Salam hormat buat pembaca setia blog ini. Agak lama juga blog ini menyepi dari sebarang “entry” kerana saya agak sibuk mengumpul beberapa bahan untuk tatapan anda semua.

Jadi, pada artikel kali ini, saya akan membincangkan mengenai “Pelaburan“.

Pelaburan terdiri dari 3 jenis iaitu, pelaburan jangka pendek, pelaburan jangka sederhana, dan pelaburan jangka panjang. Dan setiap pelaburan yang anda lakukan adalah baik untuk diri anda, tidak kiralah sama ada ianya jangka pendek, sederhana atau panjang.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini adalah, jenis pelaburan yang mana lebih baik antara Pelaburan secara LUMP SUMP atau REGULAR?

Maksud pelaburan secara LUMP SUMP ialah anda meletakkan sejumlah wang untuk dilaburkan dalam satu atau lebih dana dan tidak membuat sebarang pembelian unit dalam tempoh yang lama. Sebagai contoh, sekiranya anda mempunyai wang sebanyak RM100,000 dan anda melaburkannya dalam Dana Ekuiti dan Dana Bond berjumlah RM50,000 setiap satu. Sekiranya pasaran menunjukkan peningkatan dalam tempoh 10 tahun, anda mungkin memperolehi nilai pelaburan sebanyak RM200,000.

Bagi pelaburan secara REGULAR pula, ia meletakkan sejumlah wang secara berkala, mungkin setiap bulan atau setiap tahun. Tanpa mengira sama ada nilai unit tersebut naik atau turun, anda tetap membeli unit tersebut secara berkala. Sebagai contoh, anda melabur sebanyak RM10,000 setiap tahun. Dan dalam tempoh 10 tahun, anda telah pun melabur sebanyak RM100,000 sama seperti dalam senario 1. Dan sekiranya pasaran menunjukkan peningkatan, anda juga boleh mempunyai nilai pelaburan sebanyak RM200,000.

Jadi, apa bezanya?

Baik, di sini saya akan cuba terangkan perbezaannya. Bagi pelaburan secara LUMP SUMP, jumlah unit yang dibeli adalah tetap. Katakan, harga seunit adalah RM 0.50, maka dengan nilai pelaburan sebanyak RM100,000 anda akan unit sebanyak 200,000. Dan dalam tempoh 10 tahun, nilai dana tersebut telah meningkat sebanyak 100% iaitu menjadi RM 1.00 bagi setiap unit, maka nilai pelaburan anda telah menjadi RM 200,000 tetapi sekiranya nilai dana tersebut menurun sebanyak 20% iaitu menjadi RM 0.40 seunit maka nilai pelaburan anda akan menyusut menjadi RM 80,000 sahaja. Apa yang saya ingin tekankan di sini adalah, sekiranya anda membuat pelaburan secara LUMP SUMP, maka nilai unit anda adalah TETAP.

Berbanding dengan pelaburan secara REGULAR di mana, anda melabur secara berkala. Katakan anda melabur sebanyak RM 10,000 setiap tahun, maka jumlah unit yang anda akan perolehi akan sentiasa MENINGKAT setiap tahun.

Tahun

Nilai Pelaburan (RM)

Harga seunit (RM)

Jumlah Unit

1

10,000

0.50

20,000

2

10,000

0.55

18,181

3

10,000

0.65

15,385

4

10,000

0.70

14,286

5

10,000

0.54

18,519

6

10,000

0.48

20,833

7

10,000

0.40

25,000

8

10,000

0.51

19,608

9

10,000

0.56

17,857

10

10,000

0.68

14,706

Jumlah pelaburan = RM 100,000

Jumlah unit = 184,375

Nilai pelaburan selepas 10 tahun = 184,375 x RM 0.68

= RM 125,375

Kelebihan yang terdapat pada pelaburan secara REGULAR adalah ia mempunyai unsur “Dollar Cost Averaging” yang mana nilai dana anda dibeli pada kadar rata.

Sekiranya anda ingin melabur secara LUMP SUMP, terdapat dana-dana yang anda boleh pilih daripada syarikat pengurusan dana pelaburan. Untuk maklumat lanjut, anda juga boleh menghubungi saya secara terus.

Sekian dahulu untuk perbincangan kali ini. Sehingga berjumpa lagi di artikel yang akan datang.

Related Posts with Thumbnails